May 9, 2011

sekeping nota sebakul ingatan

Nota di atas itu terletak elok di atas meja saya dengan sebakul makanan dan minuman. Kiranya sebahagian daripada hamper pelajar-pelajar ini. Kenapa nota? Kerana saya tidak hadir ke tempat kerja dan kurang sihat pada hari pengumuman pemenang itu. Aduh, terharunya ! Terdetik di hati saya, kenapa mereka tidak membahagikan samarata antara mereka-kecualikan sahaja saya. Bukan besar sangat pun komitmen saya pada mereka. Biasa-biasa sahaja. Saya hanya membantu mereka dalam memberikan tatacara dan prosedur sebenar dalam pembuatan minyak wangi. Senarai peralatan yang hendak digunakan. Selebihnya daya usaha mereka semua men‘google’ bahan-bahan pewangi. Saya seronok apabila dapat membantu mereka dan gembira melihat mereka teruja membuat projek yang saya kira kali pertama terlaksana dengan jayanya. Namun, jauh di sudut hati saya, kesyukuran sangat-sangat. Mereka masih mengingati dan menghargai saya walaupun kemenangan telah mereka raih. Ingatan mereka pada saya masih ada walaupun mereka telah ditimbuni dengan hamper dan sudah pasti dengan pujian. Moga mereka tidak lupa diri pada masa-masa akan datang apabila mereka berjaya kelak.
Kumpulan ini telah memenangi pertandingan eksperimen sempena minggu sains dan matematik. Mereka telah berjaya menghasilkan roll on perfume dengan empat wangian.

No comments:

Post a Comment