Tidak boleh tidur. Sebab? Tiada mood. Boleh pulak macam tu ye? Apa-apa je lah.
Terpanggil untuk mencoret di sini setelah hampir 2 jam berchatting dengan seorang sahabat. Dia telah keguguran lagi buat kali ke-7. Apa perasaan dia ya? Agak lah sendiri. Aku jua sudah sedia maklum.
Aku mengharapkan masih ada sinar buat kami berdua. Dan jika tiada jua, redha-lah wahai hati-kerana sesungguhnya semua yang tercipta itu adalah yang terbaik buat kami.
“Kita hanya boleh merancang namun Allah jua yang menentukan”.
Tersingkap kembali kisah seorang bekas teman sekerja. Dia sebelum ini hanya dikurniakan 3 orang puteri. Dan sudah tentu lah yang ketiga itu sebenarnya dia berharapkan si putera. Sehinggalah dia disahkan mengandung lagi buat kali ke-4. Dan kali ini, permintaannya diperkenan Allah swt.
Di sebalik kegembiraan lahirnya si putera itu, terselit jua kesedihan dan kesusahan. Puteranya itu sudah acap kali keluar masuk hospital dan yang paling teruk di tahan di ICU selama hampir 1 minggu. Selepas keluar ICU, balik ke wad biasa dan seterusnya pulang ke rumah. Namun tidak sampai 1 minggu kembali ke ICU. Apa yang menyedihkan di sini, puteranya itu belum berusia 1 tahun lagi. Sayu kan ? Apatah lagi bila melihat anak sendiri di sambung pelbagai wayar dan tiub, hanya dia yang menanggung segala derita.
Peristiwa disekeliling aku ini membuka mata aku, menyedarkan aku supaya bersyukur lah dengan apa yang kita ada sekarang dan usahlah memohon untuk berlebih-lebih. Kita tidak tahu apa yang kita mohon itu nanti, adakah kita mampu menerimanya dengan hati yang terbuka jika Dia mengizinkannya tercipta. Dan pesan Qaseh pada aku satu waktu dahulu, “usahlah meminta-minta sangat, kerana bimbang kita akan merungut-rungut pula apabila permintaan kita ditunaikan nanti kerana ada sahaja ketidakpuasan hati. Doalah sahaja berikan kami apa yang terbaik untuk diri, keluarga dan agama. Itulah yang terbaik”.
Ya. Itu lah apa yang aku lakukan sekarang. Walaupun kadang-kadang aku tidak dapat menahan diri aku dari meminta-minta dari Dia.
Permohonanan pertukaran tempat kerja-aku telah isi semua borang dan ini adalah untuk kali kedua. Aku memang berharap agar permohonan aku ini nanti diluluskan-berjaya!. Namun siapalah aku untuk mengetahui apa yang terbaik untuk aku kan ? Maka, buat seperti biasa-biasa sahaja lah. Hanya mampu ku panjatkan doa, “ya Allah, jika tempat ku adalah lebih baik di sana , maka Kau permudahkanlah urusan pertukaran ku ya Allah. Namun, jika adalah lebih baik aku di sini, hanya Engkau Yang Maha Mengetahui. Dan jadikanlah aku hambaMu yang redha dan sabar di atas setiap ketentuanMu. amin”.
Muhasabah seketika.
Teringat satu soalan.
AN: jika ada seseorang yang sempurna sifatnya, sihat tubuh badannya, datang meminta sedekah dengan mu, adakah kamu akan memberikan sedekah padanya?
Aku: mmm, mungkin tidak.
AN: jika ada seorang yang cacat anggotanya, buta matanya, datang meminta sedekah dengan mu, adakah kamu akan memberikan sedekah padanya?
Aku: ya, bagi.
AN: kenapa yang pertama tadi tak bagi, yang kedua tu bagi?
Aku: yalah, yang pertama tadi sihat tubuh badannya, fizikal sempurna, jadi harus lah dia bekerja untuk cari duit, bukannya dengan minta sedekah. Tak patut lah. Yang kedua tu pulak, memang dia susah, fizikal pun cacat, nak minta kerja pun susah dengan keadaan macam tu, maka harus lah kita bantu.
AN: sebenarnya kalau nak bersedekah, niat kerana apa?
Aku: kerana Allah lah.
AN: betul ke kerana Allah? Kalau betul kerana Allah, kenapa nak menilai dari segi fizikal seseorang?
Aku: *diam*
AN: kalau benar kerana Allah, sesiapa pun yang datang pada kita, kita takkan cipta pelbagai alasan. Kita akan terus sahaja hulur. Tanpa ada rasa apa-apa. Kerana orang itu sebenarnya lebih memerlukan berbanding kita.
Aku: *diam lagi*
AN: jika masih ada perasaan seperti itu tadi, bermakna masih ada sifat mazmumah dalam diri kita.
Ya, betul. Aku akui itu. Tepat. Aku teringat suatu petikan. Kita hanya manusia biasa. Maka, siapalah kita untuk menilai dan menghukum orang lain atas berlakunya sesuatu yang tercipta. Kerana kuasa menghukum itu adalah sebenarnya milik Dia.
Seperti dalam kes tadi. Macam lah aku tahu kenapa orang yang sempurna fizikal itu meminta sedekah? Suka-suka hati aku je berkata, “pergilah kerja, cari duit sendiri”.
Sedangkan duit yang aku ada pada waktu itu pun, bukannya hak milik aku. Semuanya rezeki dari Allah. Betapa bongkak dan sombongnya aku!!! Astargfirullahal’azim, moga Allah ampunkan dosa aku.
Dan di dalam kelas sebelum ini, aku ada berikan satu isu kepada pelajar aku iaitu mengenai tsunami dan gempa bumi di Jepun: Perlukah kita menjadi warga yang prihatin? Salah seorang pelajar aku menjawab, “untuk apa kita nak tolong Jepun cikgu? Jepun tu dah kaya gila! Buat apa nak tolong? Waktu kita susah, Jepun tak tolong pun”. Sungguh, aku terkedu seketika. Bukan marah. Tapi tidak sangka dia ada idea sebegitu sekali di saat orang lain semua takut melontarkan idea. Hurm, dan aku tidak terus memberikan jawapan namun aku ceritakan perbualan aku dengan AN di atas kepada mereka. Dan akhirnya mereka membuat kesimpulan, “ya, cikgu. Kita kena tolong orang yang memerlukan pertolongan”. Pandai anak-anak saya!
:')
ReplyDelete