February 10, 2011

siapa kita?

kepulangan ke kampung sebelum ini, terlalu banyak cerita yang hamba perolehi dari ibu hamba.

1. menantu jiran di depan rumah ibu.
-mengandung sudah hampir 3/4 bulan rasanya, jika hamba tidak silap. apa yang menyedihkan, kandungannya hilang. hamba memang cukup terkejut mendapat perkhabaran itu. hamba yang keguguran tahun lepas, terselit perasaan sayu dan duka. seolahnya tidak dapat menerima hakikat. bagaiman pula dia ya? tentu dia seorang yang kuat dan tabah barangkali. maka, itu lah ujian buatnya. teringat pada rakan hamba sewaktu U dahulu. dia agak sukar mendapatkan anak. ditakdirkan Allah, rezeki buatnya ada. dapatlah dia seorang anak perempuan. namun, semuanya di dunia ini hanya pinjaman semata-tiada yang kekal melainkan DIA. anaknya meninggal dalam lena pada umur hampir menjangkau 1 tahun. sekarang dia masih dalam proses membangunkan diri, menerima hakikat. ujiannya lebih berat berbanding hamba. Allahuakbar.

2. anak jiran di tepi rumah ibu.
-ditangkap polis. puncanya, ibu tidak berapa pasti. namun, ada suatu ketika itu, kelihatan polis datang ke rumah jiran. seolah mencari sesuatu di halaman rumah dan kamera sentiasa mengeluarkan cahaya. fikir hamba, dadahkah? di satu sudut, kelihatan jiran (ayah kepada anak itu), mengurut dada. terkejut barangkali. kasihan melihatkan umur tuanya dikejutkan dengan sikap anak yang entah apa-apa dan akhirnya meringkuk dalam penjara. seingat hamba, jiran ini dulu hanya biasa-biasa sahaja dengan anak-anaknya. hamba masih teringat waktu hamba masih belajar. waktu itu cuti semester. satu malam itu, bising sangat-sangat. bukan sekadar mereka bersembang, bergelak ketawa di kawasan kejiranan yang mana mereka melepak betul-betul di tepi rumah ibubapa hamba, malah mereka sengaja menghangatkan perasaan geram dengan bingit ekzos motosikal masing-masing. sungguh menguji kesabaran. selang beberapa malam selepas itu, ayah hamba ada pergi menegur mereka supaya sila bertimbangrasa pada jiran-jiran terutamanya kalau yang mempunyai anak kecil. namun, luluhnya hati bila pagi esoknya ada beberapa tompok najis manusia betul-betul di depan tangga di hadapan rumah ibubapa hamba. beginikah sikap manusia yang bertamadun? dan ayah dan ibunya selepas itu langsung tidak menegur ayah dan ibu hamba. kesedaran sivik-entah di mana.

3. kematian di bukit sejuk.
-ada pada satu ketika bunyi bising sangat-sangat. siren bomba atau ambulanskah? mmm, kata hamba kepada Qaseh, rasanya bukan ambulans. sebab ambulans bunyinya 'we wong-we wong'. haha.
petang itu adik hamba pulang ke rumah selepas ke kenduri perkahwinan rakannya. maklumnya, ada kemalangan di bukit sejuk. myVi remuk. jatuh ke dalam cerun. orangnya wallahu'alam. tiba-tiba ibu membuka cerita. kata ibu masa awal-awal berhijrah ke KJ ini, ada satu keluarga meninggal dalam kemalangan. seorang ayah, ibu dan anak. namun, mayat mereka hanya dijumpai setelah beberapa hari kemalangan tersebut kerana kereta mereka menjunam ke dalam cerun dan kebetulan pada waktu itu, jalan tersebut lengang dan tiada sesiapa yang menggunakan jalan itu. sehinggalah ke hari ini, ada sahaja kemalangan maut berlaku di situ. namun, semuanya dalam rahsia Allah. hanya Allah yang Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. wallahu'alam.


ironinya, semua yang kita ada dalam hidup kita ini hanyalah pinjaman semata-mata. tangan, kaki, mata, suami, isteri, anak, ibu, ayah, harta, duit-semunya pinjaman. siapalah kita untuk menghukum, menilai, "kenapa aku begini? kenapa ujian ini? kenapa mereka bahagia? bila aku akan kaya?", sedangkan semuanya itu adalah hak Allah. dan Allah jua lah yang telah merencanakan setiap perjalanan kita seawal kita di Loh Mahfuz lagi. tidak hairanlah ada pepatah mengatakan, kita hanya mampu merancang namun Allah jua yang menentukan. dan hakikatnya Allah Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA, sedangkan kita tidak mengetahui. dan sematkan dalam jiwa, setiap pekerjaan itu akan ada balasan. jika balasan itu tidak di dunia, insyaAllah di akhirat kelak. jika tidak mampu menanggung siksa azab di dalam kubur, tidak gagah berbumbungkan matahari sejengkal, tidak mampu meniti siratan mustaqim dengan beratnya dosa, tidak mampu menanggung pedihnya api neraka, maka marilah kita semua berbalik kepada ajaran agama, i.s.l.a.m

kerana ajaran islam itu cukup indah, amat sempurna.

No comments:

Post a Comment