sudah hampir tiga jam dia berbaring di atas tilam empuk itu, namun matanya masih belum terkatup, jasadnya masih belum mati sementara. malam semakin lewat. dan dia semakin resah. mengiring, terlentang, meniarap, semuanya serba tidak kena. alih-alih putaran kipas juga yang menjadi santapan matanya.
kipas terus berputar, perlahan. mindanya menjangkau ke satu episod yang telah lama ditinggalkannya. tanpa sedar, menular satu perasaan, membuatnya hiba. tangis esak yang perlahan awalnya semakin kuat kedengaran. dia akhirnya menggongoi kepiluan. dari zaman kanak-kanaknya, remajanya hinggalah kini dia dewasa, jiwanya semakin lemah. sedaya upaya ingin dilupa semua yang pahit itu, namun siapalah dia mahu melawan percaturan Tuhan.
dalam secubit kewarasan yang ada itu, dia merintih dalam tangisan...
aku tak fahamlah dengan manusia ni. bukan siapa-siapapun, darah daging sendiri. aku tak faham. kenapa dia harus bersusah hati bila termimpikan aku terkujur berbalut kain putih, bukankah dia, dulu setiap masa, setiap hari, marahkan aku, seranahkan aku ni sial, disuruh aku mati cepat, mati dilanggar lori lagi bagus. tapi sekarang, dia menangis, bersusah hati. pelik, sungguh aku pelik. kenapa dia tak suruh Allah ambil nyawa aku sewaktu aku nazak tempohari?
dia, meraung lagi sekuat hati, namun raungan itu tersekat kerana suaranya tiada, hanya terzahir di sudut yang amat dalam. dalam tangisan yang kian memuncak, akhirnya dia tertewas jua. dan malam itu kian larut bersama airmata dan mimpi kenangannya yang melukakan.
dengkuran halus yang tersekat-sekat menghiasi pekatnya malam pada malam itu......
No comments:
Post a Comment